Khamis, 7 November 2019 | 2:23pm
TIMBALAN Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria.

Pendakwaan mohon bicara Najib, Arul Kanda ditangguh

KUALA LUMPUR: Pendakwaan memohon perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang membuat permohonan itu memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, berikutan saksi utama pendakwaan, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, sedang memberi keterangan dalam kes 1MDB yang dihadapi Najib.

Sri Ram berkata beliau perlu menyediakan kenyataan pembukaan kes dan memantau pasukan pendakwaan.

“Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan beliau berkemungkinan tidak dapat menyelesaikan soal balas terhadap Shahrol Azral pada 14 November ini, manakala perbicaraan dijangka bermula 18 November ini.

“Ia akan memprejudiskan kes pihak pendakwaan sekiranya Shahrol masih memberi keterangan pada perbicaraan 1MBD,” katanya.

Permohonan itu tidak dibantah Muhammad Shafee yang turut memberitahu mahkamah penangguhan kes berkenaan akan memberi kelebihan kepada pasukan pembelaan.

“Saya bersikap neutral dengan permohonan ini, asalkan tidak perlu mengendalikan kedua-dua kes serentak.

“Ketika ini, kami sedang berjuang dari semua sudut dan sekiranya perbicaraan diteruskan ia akan mendedahkan benteng pertahanan pembelaan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 November ini untuk pengurusan kes dan keputusan bagi permohonan itu.

Pada prosiding itu, Arul Kanda diwakili peguam Jasmine Cheong.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 18 November hingga 29 November 2019 dan 13 Januari hingga 17 Januari 2020 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X