Rabu, 6 November 2019 | 8:57pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 262.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Seremban, petang tadi. - Foto ihsan bomba

Dua rentung van terbabas dalam parit

SEREMBAN: Dua lelaki rentung selepas van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 262.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.11 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban serta Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian bersama 14 anggota.

“Sebaik tiba, bomba mendapati sebuah kenderaan terbabas dalam parit dan terbakar 100 peratus. Terdapat dua lelaki rentung dalam kejadian itu,” katanya di sini, hari ini.


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 262.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Seremban, petang tadi. - Foto ihsan bomba

Mukhlis berkata, sebaik kerja memadam kebakaran selesai, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu van itu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan van berkenaan terjunam ke dalam longkang besar lebuh raya dan terbakar.

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian. Setakat ini identiti masih belum dikenal pasti,” katanya.

Berita Harian X