Rabu, 6 November 2019 | 1:18pm
KETUA Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din (tengah) menunjukkan peta lokasi penutupan jalan sambil diperhatikan Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh ketika sidang media sempena PRK P165 Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian. NSTP/Hairul Anuar Rahim

Tanjung Piai: Polis buka 3 kertas siasatan

PONTIAN: Polis membuka tiga kertas siasatan membabitkan lapan laporan polis sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, yang bermula Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata dua kes membabitkan siasatan bahan kempen parti Gerakan dan bendera Pakatan Harapan (PH) dirosakkan.

Katanya, siasatan juga dijalankan mengenai ucapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang dikatakan berbaur perkauman.

“Kes merosakkan bahan kempen disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes ucapan perkauman disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini hari ini.

Menurut polis, keadaan kempen setakat ini adalah terkawal. Sebanyak 159 permit perhimpunan dikeluarkan membabitkan PH (23), BN (74) dan GERAKAN (62).

Polis akan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan menjelang fasa kedua kempen bagi PRK Tanjung Piai, minggu depan.

Berita Harian X