Isnin, 4 November 2019 | 9:26pm

Kes kecurian MotoGP: 3 pekerja syarikat keselamatan ditahan reman

SEPANG: Tiga pengawal keselamatan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) direman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian komponen dan barangan pasukan yang beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata semua pekerja syarikat keselamatan berkenaan ditahan kira-kira jam 1 pagi semalam.

Semua lelaki terbabit yang berusia antara 20 hingga 30 tahun, sebelum ini dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA untuk disoal siasat.

Pekerja terbabit ditahan untuk membantu siasatan kerana mereka bertugas ketika kejadian. Mereka yang ditahan adalah warga tempatan.

“Buat masa ini, siasatan terhadap kes berkenaan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan daripada Bahagian Keselamatan SIC berhubung kes kecurian komponen berkenaan.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dilaporkan berkata, kejadian awal pagi Jumaat lalu membabitkan antara lima hingga enam pasukan yang kehilangan komponen jentera Moto3 dan Moto2 dengan pasukan Angel Nieto paling terkesan.

Antara komponen yang dicuri di khemah pasukan berkenaan termasuklah set lengkap penyerap hentak, angkup, cakera brek, komputer riba, alat bengkel dan pemanas tayar.

Berita Harian X