Khamis, 31 Oktober 2019 | 3:04pm
KETUA Unit Kawalan Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Raja Zul Raja Yaacob (kiri) memeriksa minyak masak dan tepung gandum yang dirampas di sebuah premis berlesen di Rantau Panjang. - Foto ihsan KPDNHEP

KPDNHEP rampas barang kawalan untuk diseludup ke Thailand

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 10,100 kilogram (kg) tepung gandum dan 6,885kg minyak masak bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Rampasan dilakukan jam 10 pagi semalam ketika pemeriksaan di sebuah premis berlesen di Rantau Panjang dalam Operasi Barang Kawalan Berjadual di sempadan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri, berkata berdasarkan pengauditan Unit Kawalan Bekalan kementerian, pihaknya mengesyaki berlaku penyelewengan barang kawalan untuk diseludup ke negeri jiran.

“Serbuan di premis itu membawa kepada penemuan tepung gandum bersubsidi 1kg sebanyak 10,100kg yang disimpan bersebelahan premis berkenaan dan pemilik premis mengakui barang itu adalah miliknya.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 10,100 kilogram (kg) tepung gandum dan 6,885kg minyak masak bersubsidi dipercayai untuk diseludup ke Thailand. - Foto ihsan KPDNHEP

“Pemeriksaan ke atas lori di belakang premis itu turut menemui minyak masak bersubsidi 1kg sebanyak 6,885kg. Semua sitaan gandum, minyak dan lori bernilai RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Modus operandi kes itu adalah pemilik premis berlesen mendapatkan barang kawalan bersubsidi di pasaran di negeri itu serta beberapa negeri lain termasuk Perak, Pulau Pinang dan Pahang untuk diseludup ke negara jiran.

Bagi mengelirukan pihak berkuasa, pemilik lesen menyimpan barang kawalan bersubsidi di alamat tidak dilesenkan.

Pemilik premis adalah penduduk tempatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3 (1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Berita Harian X