Khamis, 31 Oktober 2019 | 1:04pm

12 individu termasuk ADUN didakwa sokong LTTE

KUALA LUMPUR: Sejumlah 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini atas tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

ADUN Gadek, G Saminathan, 34; pemandu teksi, V Balamurugan, 37; penghantar surat, S Teeran, 38 dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 36, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan menggunakan aplikasi media sosial iaitu Facebook dan Youtube kepunyaan masing-masing.

Perbuatan kesemua tertuduh didakwa dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Bahagian C8 (M) Kaunter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 8 dan 9 Oktober 2019.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Teeran turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki item berunsur perbuatan keganasan yang didakwa mengikut Seksyen 130J B (1)(a) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item terbabit.

Kalaimughilan pula berdepan satu lagi pertuduhan memberi sokongan dalam satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, No 2, Jalan Kampung Attap antara jam 8 malam hingga 11 malam, pada 17 Mac 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak dibenarkan jamin.

Peguam bela Ram Karpal Singh, yang mewakili Saminathan, memohon supaya anak guamnya dibenarkan jaminan atas budi bicara mahkamah selain pertuduhan mengikut SOSMA adalah tidak berperlembagaan.

Permohonan jaminan turut dikemukakan tertuduh lain melalui peguam masing-masing dan

Rozina menetapkan esok untuk keputusan sama ada jaminan ke atas semua tertuduh dibenarkan atau tidak.

Sementara itu, pertuduhan terhadap lapan lagi tertuduh belum bermula di mahkamah lain.

Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti SOSMA, selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia sejak 2014.

Organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai kumpulan pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

Dari kiri; G Saminathan, V Balamurugan, S Teeran dan A Kalaimughilan didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan atas tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE. - Foto NSTP
Berita Harian X