Rabu, 30 Oktober 2019 | 7:55pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - Foto Aswadi Alias

Komisen Tareq Obaid AS$85 juta usaha sama 1MDB - PSI

KUALA LUMPUR: Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ldt (PSI), Tarek Obaid menerima komisyen sebanyak AS$85 juta daripada Syarikat Good Star Ltd yang dikatakan milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Perkara itu disahkan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangannya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Shahrol Azral mengesahkan perkara itu ketika diminta merujuk penyata bank JP Morgan yang menunjukkan kredit berjumlah AS$85 juta.

Ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib sama ada dalam tempoh lima hari, Tarek menerima bayaran AS$85 juta daripada Good Star, Shahrol Azral menjawab: “Ya.”

Muhammad Shafee: Anda ingat AS$700 juta masuk ke akaun Good Star. Di sini AS$85 juta dikreditkan ke dalam akaun ini.

Boleh anda maklumkan kepada mahkamah, akaun ini milik siapa?

Shahrol: Dinyatakan di sini Tarek Obaid.

Bagaimanapun, saksi kesembilan pendakwaan itu berkata, beliau tidak menyedari bahawa AS$700 juta yang dimasukkan ke Good Star, dibayar kepada Tareq.

Shahrol Azral turut memberitahu mahkamah, berdasarkan kepada dokumen itu pembayaran berkenaan adalah untuk komisyen bagi usahasama dengan PSI berjumlah AS$2.5 bilion.

Ditanya sama ada pembayaran itu dianggap sebagai komisyen bona fide atau mencuri secara terang-terangan, Shahrol Azral menjawab: Beliau tidak mempunyai maklumat lengkap untuk menentukannya.

Muhammad Shafee: Berapa peratus AS$85 juta daripada AS$700 juta?

Shahrol: Lebih daripada 10 peratus

Muhammad Shafee: Adakah ada tahu Tarek adalah Pengarah 1MDB PSI?

Shahrol: Ya

Bagaimanapun, Shahrol berkata, perkara itu tidak diisytiharkan oleh Tarek.

Berita Harian X