Selasa, 29 Oktober 2019 | 3:42pm
KETUA Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sabah, Datuk Fadzillah Mohamed ketika sidang media mengenai Operasi Bersepadu yang dilaksanakan sempena musim perayaan Deepavali di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan. NSTP/Malai Rosmah Tuah.
KETUA Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sabah, Datuk Fadzillah Mohamed ketika sidang media mengenai Operasi Bersepadu yang dilaksanakan sempena musim perayaan Deepavali di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan. NSTP/Malai Rosmah Tuah.

IPK Sabah gempur sarang dadah, jenayah

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Sejumlah 5.2 kilogram dadah pelbagai jenis berjaya dirampas melalui operasi bersepadu memerangi jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Kontingen (IPK) Sabah sempena Deepavali minggu lalu.

Dalam operasi selama lima hari itu yang berakhir Jumaat lalu, 87 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah, dengan 17 daripadanya berkaitan kes pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah di enam daerah di negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Sabah, Datuk Fadzillah Mohamed, berkata operasi yang bermula sejak 21 Oktober itu memberi tumpuan terhadap beberapa kesalaha jenayah, termasuk berkaitan dadah.

“Di Sandakan dan lima daerah lain seperti Penampang, Labuan, Semporna, Sipitang dan Tenom, kita merekodkan kes tangkapan membabitkan pengedaran serta penyalahgunaan dadah, dengan keseluruhannya 5.2 kilogram bahan terlarang itu berjaya dirampas.

“Sebanyak 16.42 gram syabu dirampas di Sandakan (tiga kes), diikuti 5,088.36 gram syabu di Penampang, 61.78 gram syabu dan 26.52 gram eramin 5 (Labuan); 0.10 gram syabu (Semporna); 0.09 gram syabu (Sipitang) dan 5.10 gram syabu (di Tenom),” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan perbandingan jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari sehingga semalam, terdapat beberapa daerah dikesan menunjukkan peningkatan melebihi paras ditetapkan iaitu Lahad Datu, Ranau, Kunak, Kota Marudu dan Papar.

“Bagaimanapun, secara keseluruhannya statistik jenayah indeks bagi IPK Sabah masih di bawah paras dibimbangkan iaitu 373 kes atau -7.2 peratus. Jenayah indeks bagi tempoh Januari shingga semalam adalah 4,779 kes berbanding paras ditetapkan iaitu 5,152 kes.

“Justeru, dengan adanya operasi bersepadu seperti ini, ia tentunya dapat memberi kesan besar kepada penurunan kadar jenayah seluruh negara, khususnya di Sabah,” katanya.

Katanya, sepanjang operasi itu dilaksanakan, seramai 8,504 individu bersama 6,063 kenderaan turut diperiksa, dengan 757 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Berita Harian X