Selasa, 29 Oktober 2019 | 2:50pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - Foto Aswadi Alias

Perjanjian usaha sama antara 1MDB, PSI dipinda - Shahrul Azral

KUALA LUMPUR: Beberapa perkara yang terkandung dalam perjanjian usaha sama di antara syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd (PSI) telah dipinda, Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu.

Antara pindaan itu adalah membabitkan penukaran bank bagi perjanjian usaha sama iaitu daripada Banca Della Svizzera Ittaliana (BSI) kepada JP Morgan dan pembayaran berjumlah AS$700 juta kepada PSI.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui siapa yang mencadangkan pindaan itu, bagaimanapun bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang mengemukakan perjanjian itu kepadanya untuk ditandatangani.

Shahrol Azral menjelaskan bahawa keseluruhan proses dokumentasi diuruskan oleh Tang dan turut membabitkan Jho Low, oleh itu beliau (saksi) berpuas hati kedua-dua individu itu sudah melakukan pemeriksaan sewajarnya.

Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, beliau turut bersetuju dengan pemecahan dana yang disuntik oleh 1MDB ke dalam perjanjian usaha sama berjumlah AS$1bilion, iaitu AS$700 juta untuk dibayar kepada PSI manakala bakinya dimasukkan ke dalam akaun usaha sama.

Bagaimanapun, dana AS$700 juta itu dibayar terus kepada syarikat Good Star Ltd (syarikat dikatakan milik Jho Low) kerana kononnya ia adalah subsidiari PSI.

“Saya bersetuju dengan pecahan itu kerana beranggapan ia adalah betul, kerana biasanya Jho Low mendedahkan konsep itu kepada Datuk Seri Najib Razak, jadi pada masa itu saya berfikiran bahawa ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan,” katanya.

Shahrol Azral berkata demikian ketika menjawab soalan balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-28 perbicaraan kes rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion 1MDB dihadapi Najib.

Berita Harian X