X
Selasa, 29 Oktober 2019 | 12:57pm
Pegawai Penguatkuasa MAQIS Kelantan dengan kerjasama AKSEM, PGA dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas 1,000 kotak ayam sejuk beku bernilai RM100,000 yang disyaki diseludup dari negara jiran melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok sepanjang Oktober ini. - Ihsan MAQIS Kelantan
Pegawai Penguatkuasa MAQIS Kelantan dengan kerjasama AKSEM, PGA dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas 1,000 kotak ayam sejuk beku bernilai RM100,000 yang disyaki diseludup dari negara jiran melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok sepanjang Oktober ini. - Ihsan MAQIS Kelantan

Pangkalan haram Sungai Golok lokasi seludup ayam sejuk beku

RANTAU PANJANG: Pangkalan haram di Sepanjang Sungao Golok di sempadan Malaysia-Thailand di sini digunakan oleh penyeludup untuk membawa masuk ayam sejuk beku yang tidak disahkan taraf halalnya.

Sepanjang bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 1,000 kotak ayam sejuk beku bernilai RM100,000.

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, jumlah itu membabitkan empat rampasan sekali gus menunjukkan peningkatan kawalan terhadap kes penyeludupan ayam sejuk beku daripada negara jiran, Thailand.

Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Kes terbaru yang direkod ialah rampasan sebanyak 620 kotak ayam beku oleh pihak AKSEM yang bernilai RM80,000 pada 22 Oktober lalu dan ia tangkapan terbesar bulan ini.

“Kesemua ayam beku terbabit disyaki diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok. Selain itu, turut disita adalah sebuah lori yang digunakan untuk membawa barangan seludup ini.

“Hasil siasatan mendapati lori memuatkan ayam beku tidak mempunyai dokumen import yang sah, sijil kesihatan daripada negara asal dan sijil halal,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Azam berkata, perbuatan mengimport ayam sejuk beku tanpa permit import yang sah adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Selain itu mereka yang terbabit juga boleh boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) dalam akta yang sama yang jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pesalah turut boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kuarantin dan Pemeriksaan (Perkompaunan Kesalahan 2019) sehingga RM50,000.

“Kegiatan menyeludup ayam sejuk beku yang dikhuatiri logo halal itu perlu ditangani bagi memastikan kawalan penyakit haiwan serta jaminan keselamatan makanan,” katanya

MAQIS bertanggungjawab memantau kegiatan penyeludupan bagi memastikan setiap bekalan barang mentah seperti ayam adalah berkualiti dan disahkan halal demi kesejahteraan masyarakat.

Berita Harian X