Selasa, 29 Oktober 2019 | 12:16pm
Seorang penghantar surat S Teran didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE. - NSTP/Adi Safri

Penghantar surat dituduh miliki barangan berkaitan LTTE

SEGAMAT: Seorang penghantar surat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki item berunsurkan perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), bulan lalu.

Tertuduh, S Teran, 38 hanya mengangguk tanda faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Mengikut kertas pertuduhan, Teran yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma guaman di bandar ini dituduh memiliki barangan berunsurkan perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada kira-kira jam 6.30 petang bertempat di alamat Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai di sini, 10 Oktober lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyeb 130 JB(1)(a) Kanun Keseksan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakan mana-mana item berkenaan.

Peguambela, A Mathan yang mewakili tertuduh kemudian memohon kepada mahkamah supaya Teran diberikan satu jaminan berikutan anak guamnya didakwa mengidap sakit tulang belakang yang serius dan dia pernah menjalani pembedahan pada bahagian itu pada 25 Julai lalu, selain bakal berkahwin pada Disember ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Low Qin Hui membantah permohonan jaminan itu kerana ia membabitkan kes berkaitan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Qin Hui juga memohon pihak mahkamah untuk membawa tertuduh ke Penjara Sungai Buloh, Selangor berikutan Teran juga akan menghadapi beberapa pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis ini.

Rasidah dalam penghakimannya berkata permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan jaminan bagi tertuduh tidak dipertimbangkan sehingga dia mengemukakan laporan perubatan perubatan daripada doktor atau pakar yang merawat orang kena tuduh (OKT)

Mahkamah kemudiannya menetapkan 18 November ini untuk pengurusan kes bagi meneliti laporan perubatan dan laporan daripada pakar forensik.

Terdahulu, Teran tiba di perkarangan mahkamah dengan dikawal ketat oleh anggota polis. Selain itu, beberapa ahli keluarganya juga dilihat hadir bagi mengikuti prosiding pertuduhan itu.

Suasana menjadi hiba apabila beberapa ahli keluarga dilihat menangis sejurus prosiding berakhir, terutama ketika Teran dibawa keluar dari mahkamah oleh beberapa anggota polis.

Berita Harian X