Selasa, 29 Oktober 2019 | 11:47am

Pengutip besi buruk didakwa miliki item berkaitan LTTE

SELAYANG: Seorang pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua tuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tiada pengakuan direkodkan daripada Kalaimughilan, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, Kalaimughilan didakwa memiliki item berkaitan LTTE di alamat Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang di sini, pada jam 12.35 tengah hari, 10 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki item berkaitan LTTE di dalam sebuah kereta jenis Mitshubishi nombor pendaftaran WFQ 8208 di hadapan sebuah rumah di alamat No 7, Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang, di sini, pada jam 9.30 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau boleh dilucut hak mana-mana barangan itu, jika sabit kesalahan.

A Kalaimughilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, atas dua tuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas LTTE. - NSTP/Aswadi Alias

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam V Yoges.

Terdahulu, Yoges memohon mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan alasan kesihatan anak guamnya tidak baik kerana dia pernah mengalami kemalangan jalan raya.

Tertuduh perlu mendapatkan rawatan secara berkala di hospital selain turut menjaga ayahnya seorang orang kurang upaya (OKU).

Bagaimanapun, Rohaiza membantah atas alasan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak membenarkan sebarang jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikatjamin dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Oktober lalu, tujuh individu termasuk dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian pada 12 Oktober, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia bermula pada 2014.

Organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

A Kalaimughilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini, atas dua tuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas LTTE. - NSTP/Aswadi Alias
Tiada pengakuan direkodkan daripada Kalaimughilan, 28, selepas pertuduhan dibacakan. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X