Ahad, 27 Oktober 2019 | 8:13pm
Farah Ahmad pasrah dengan ketentuan Tuhan. - NSTP/Azim Fitri

Hasrat mahu bercuti bersama tidak kesampaian

LIPIS: “Walaupun sedih tetapi saya reda dan bangga, dia pergi dalam keadaan syahid kerana sedang bekerja mencari rezeki dan nafkah untuk kami sekeluarga,” kata Farah Ahmad, 42, isteri pengarah drama dan filem, Allahyarham Firdaus Hanif, 43, yang ditemui lemas di Sungai Jelai, Kampung Mela, di sini hari ini.

Katanya, sejak dilaporkan hilang ketika memancing di sungai berkenaan, beliau dan anak-anak sememangnya mengharapkan keajaiban berlaku, namun mereka sekeluarga pasrah dengan ketentuan Tuhan.

“Memang sebelum ini saya dan anak-anak berdoa agar keajaiban berlaku, namun pada masa sama, saya beritahu diri sendiri serta anak-anak supaya menerima apa saja ketentuan Allah,” katanya ditemui dilokasi.

Farah Ahmad isteri kepada Pitt Hanif ketika berada dilokasi di Sungai Mela. - NSTP/Azim Fitri

Farah berkata, beliau sedikit rasa terkilan kerana sudah lebih dua bulan tidak bertemu suaminya disebabkan kesibukan tugas masing-masing dalam bidang seni.

“Kami ada merancang untuk bercuti bersama, namun nampaknya hasrat itu tidak kesampaian... saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Beliau yang juga pelakon drama, berkata beliau bersama tiga anak perempuan berusia tujuh hingga 16 tahun bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan seorang daripada kru produksi.

“Saya dapat panggilan telefon daripada kru produksi dan terus ke lokasi kejadian petang semalam. Dia tidak maklumkan untuk keluar memancing pada semalam kali terakhir dia menghantar pesanan menerusi aplikasi Whastapp (WA) pada Khamis.

“Assalamualaikum nyawa-nyawa Ayah. Itu (teks) pesanan terakhir yang dia hantar kepada kami sekeluarga,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Firdaus atau lebih dikenali sebagai Pitt, yang juga anak kepada pelakon popular Fauziah Nawi dikatakan memancing bersama seorang lagi rakannya.

Bagaimanapun, bot gentian kaca dinaiki mereka dikatakan pecah dipercayai melanggar tiang jambatan sebelum dia dihanyutkan arus sungai manakala rakannya dapat diselamatkan.

Pitt dilaporkan dalam fasa terakhir menyiapkan sesi penggambaran filem Coast Guard yang memulakan penggambaran sejak lebih dua bulan lalu.

Mayat kini dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X