Ahad, 27 Oktober 2019 | 3:26pm
Firdaus turut dikenali Pitt Hanif, yang juga anak pelakon popular, Fauziah Nawi. - FB Pitt Hanif
Farah mengaminkan doa ketika gerakan operasi pencarian di Kampung Mela, Lipis. - Foto Azim Fitri

'Farah you boleh buat, you boleh handle' - Farah Ahmad

LIPIS: “Farah boleh buat, Farah boleh ‘handle’ jaga anak-anak semua. Itu yang sering dia cakap kepada saya. Tetapi saya masih perlukan dia.

“Saya doakan ada keajaiban dan dia ditemui selamat. Apa-apa pun saya kena terima dan reda,” kata Farah Ahmad, 42, isteri pengarah drama dan filem, Firdaus Hanif, 43, yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Jelai di sini, semalam.

Farah berkata, dia bersama tiga anak perempuan berusia tujuh hingga 16 tahun sentiasa berdoa semoga ada keajaiban dalam operasi mencari dan menyelamat suaminya.

Farah doakan ada keajaiban dan Firdaus ditemui selamat. - FB Farah Ahmad

Bot gentian kaca dinaiki Firdaus dikatakan pecah sebelum dia dihanyutkan arus sungai manakala rakannya dapat diselamatkan.

“Saya dapat panggilan telefon daripada rakan dan terus ke lokasi petang semalam.

“Dia (suami) tidak maklumkan untuk keluar memancing semalam... kali terakhir dia menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis.

“(WhatsApp daripada suaminya berbunyi) ‘Assalamualaikum nyawa-nyawa ayah... Itu pesanan terakhir yang dia hantar kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam, Firdaus, turut dikenali Pitt Hanif, yang juga anak pelakon popular, Fauziah Nawi memancing bersama seorang rakannya.

Farah dan Firdaus.

Farah dan keluarga. - FB Farah Ahmad

Bagaimanapun, bot gentian kaca dinaiki mereka dikatakan pecah sebelum dia dihanyutkan arus sungai manakala rakannya dapat diselamatkan.

Difahamkan, Firdaus berada di daerah ini bagi menyiapkan penggambaran filem ‘Coast Guard’ yang bermula kira-kira dua bulan lalu.

Farah memberitahu mengetahui suaminya suka memancing tetapi jarang bertanya kerana mengenali suaminya yang tidak suka diganggu apabila bekerja.

Sementara itu, Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrulnizam Nasir, berkata operasi mencari dan menyelamat disambung semula jam 8 pagi tadi.

Anggota polis melakukan operasi mencari dan menyelamat Firdaus semalam. - Ihsan Bomba Pahang

Anggota bomba berusaha mencari Firdaus di Sungai Jelai. - Foto Azim Fitri

Operasi diperluaskan di sepanjang Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis sejauh 30 kilometer hingga ke Jerantut Feri, Jerantut.

Seramai 70 pegawai dan anggota pelbagai agensi bersama membantu mencari mangsa. Operasi turut membabitkan Unit Pasukan Penyelam di Air (PPDA) yang melakukan selaman di beberapa sektor di kenal pasti.

Berita Harian X