Sabtu, 26 Oktober 2019 | 7:03pm
Pitt Hanif adalah anak kepada pelakon terkenal, Fauziah Nawi. - Foto FB Pitt Hanif
Pengarah filem, Firdaus Hanif atau dikenali dengan panggilan Pitt Hanif. - Foto FB Pitt Hanif

Pitt Hanif dikhuatiri lemas di Sungai Jelai

LIPIS: Pengarah filem, Firdaus Hanif, 43 atau dikenali dengan panggilan Pitt Hanif dikhuatiri lemas ketika memancing bersama seorang rakannya di Sungai Jelai, Kampung Mela, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, bot yang dinaiki Firdaus dari Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur, bersama dengan rakannya dikatakan terbalik.

Pitt Hanif adalah anak kepada pelakon terkenal, Fauziah Nawi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, mangsa dipercayai dibawa arus deras.

“Kejadian berlaku berhampiran Jambatan Gemunchur, dekat Mela. Pasukan mencari dan menyelamat sedang melakukan pencarian dalam radius kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Bot yang dinaiki Firdaus bersama rakannya dikatakan terbalik.

Bot yang dinaiki Pitt Hanif sebelum terbelah dua. - Foto FB Farah Ahmad

Operasi mencari dan menyelamat Pitt Haniff giat dijalankan. - Ihsan Bomba Pahang

“Siasatan awal mendapati, bot fiber yang dinaiki mangsa bersama rakannya dikatakan terbalik menyebabkan mangsa dibawa arus deras, manakala rakannya berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelasnya, seorang pegawai bersama tujuh anggota serta dua bot terbabit dalam operasi itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya masih melakukan operasi bagi mencari mangsa di permukaan air dengan sebuah bot.

“Pasukan menyelamat terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba Lipis bersama sebuah bot bagi melakukan operasi mencari (SAR) mangsa di permukaan air,” katanya.

Berita Harian X