Jumaat, 25 Oktober 2019 | 2:34pm
Gambar fail, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling. - Foto Rosela Ismail
Gambar fail, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling. - Foto Rosela Ismail

Zainal Kling selesai beri keterangan

KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif, Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling selesai memberi keterangan di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ini bagi membantu siasatan polis berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, 6 Oktober lalu yang didakwa berbaur perkauman.

Siasatan perkara itu dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berikutan laporan polis oleh Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, 7 Oktober lalu.

Turut hadir untuk direkod keterangan adalah Pengarah Pusat Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya, Profesor Dr Hashim Ismail.

Pusat Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya adalah penganjur Kongres berkenaan yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam.

Zainal yang juga Pemegang Kerusi Majlis Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Hashim masuk ke Bukit Aman dengan ditemani peguam mewakili mereka, Muhamad Hisham Marzuki.

Menurut Muhamad Hisham, keterangan Zainal dan Hashim direkod oleh dua pegawai daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Mereka berdua memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan polis dengan memberi keterangan hari ini selepas dipanggil untuk proses itu mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Proses (rakam keterangan) berlangsung selama dua jam dan dikendalikan oleh dua pegawai termasuk seorang pegawai penyiasat.

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan pintu masuk Bukit Aman, hari ini.

Ditanya sama ada Zainal dan Hashim akan dipanggil semula untuk proses siasatan seterusnya, beliau berkata perkara itu belum pasti dan bergantung kepada siasatan polis.

Terdahulu, Zainal dan Hashim, tiba di pekarangan pintu masuk Bukit Aman kira-kira jam 10 pagi tadi bersama beberapa kenalan rapat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini dilaporkan berkata, polis membuka kertas siasatan susulan satu laporan polis terhadap Zainal berhubung ucapan beliau pada Kongres terbabit.

Pada ucapan pembukaan tirai Kongres Maruah Melayu itu, beliau didakwa menyentuh isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Kongres yang berlangsung pada 6 Oktober lalu itu dihadiri lebih 5,000 peserta termasuk Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin tertinggi UMNO, PAS dan Pakatan Harapan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan kehadiran Zainal dan Hashim ke Bukit Aman.

Berita Harian X