Khamis, 24 Oktober 2019 | 2:08pm

Polis kesan 4 warga Indonesia terbabit kes bunuh

SIBU: Polis mengesan empat warga Indonesia bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya dijumpai di sebuah jeti persendirian di Jalan Lanang di sini, pada 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata keempat-empat suspek ialah pekerja kapal ikan dan mereka menghilangkan diri selepas kejadian.

“Berdasarkan bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa, pasukan forensik mendapati punca kematian disebabkan jerutan dan bukan lemas.

“Identiti mangsa juga sudah dikenal pasti sebagai Markus Binsan @ Junai, 29, dan berasal dari Fatu Kolo, Timur Timor, Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mayat berkenaan ditemui tersangkut pada pukat dengan tubuhnya diikat batu bata oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum menghubungi polis.

Menurut Stanley, pemeriksaan dalaman terhadap mangsa mendapati tulang leher patah serta terdapat lebam pada struktur leher akibat jerutan.

“Pemeriksaan luaran pula mendapati ada tanda kecederaan oleh benda tumpul pada muka dan leher.

“Dua tulang rusuk mangsa masing-masing di bahagian kiri dan kanan didapati patah,” katanya.

Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X