Ahad, 20 Oktober 2019 | 9:11am
LONGGOKAN kayu balak pelbagai jenis yang ditebang secara haram dirampas oleh anggota Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin. - Foto Mohd Rafi Mamat
LONGGOKAN kayu balak pelbagai jenis yang ditebang secara haram dirampas oleh anggota Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin. - Foto Mohd Rafi Mamat

Cubaan mencuri 34 balak

ROMPIN: Pejabat Hutan Daerah (PHD) merampas 34 balak pelbagai jenis bernilai lebih RM100,000 yang ditebang secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Ibam, di sini, dipercayai untuk pasaran tempatan.

Empat jenis kayu yang dikenal pasti cuba dilarikan ialah meranti, kempas, nyatoh dan sepetir. Turut disita sebuah jengkaut yang digunakan untuk memindah dan mengangkat balak terbabit ke atas lori.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, mengesahkan kes yang berlaku pada bulan lalu itu dipercayai dilakukan sindiket tertentu yang berpengalaman luas melakukan kerja hutan terutama di daerah ini.

Hutan Simpan Ibam yang terkenal dengan pelbagai jenis balak berkualiti tinggi serta berharga mahal sentiasa menjadi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaut hasil secara salah dan menyalahi undang-undang.

Katanya, jalan keluar yang banyak memberi lebih keyakinan pada kumpulan pencuri untuk melakukan aktiviti menebang dan memindahkan balak dari hutan simpan Ibam yang terletak berhampiran dengan FELDA Chini.

“Saya difahamkan di daerah ini terdapat kes aktiviti menebang balak secara haram dilakukan pada waktu malam, selesai menebang mereka akan segera membawa keluar kayu dari hutan seterusnya ke kilang papan pada awal pagi.

“Pelbagai taktik dan cara digunakan sindiket terbabit bagi melepaskan diri daripada diberkas pihak berkuasa dan biasa digunakan ialah aktif pada waktu malam hingga ke awal pagi,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, balak yang dirampas kini ditempatkan sementara di perkarangan pejabat hutan Muadzam Shah sebelum proses melelong dilakukan dalam masa terdekat ini.

Mohd Hizamri berkata, maklumat awam menjadi petunjuk kepada kakitangan PHD Rompin melakukan serbuan seterusnya menemui 34 balak dalam Hutan Simpan Ibam yang sedia dipindahkan pada bila-bila masa.

“Kita akan terus berusaha menyekat kegiatan mencuri balak di negeri ini dengan pelbagai cara, selain sekatan jalan raya unit penguatkuasaan Pahang Timur dan Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga akan melakukan rondaan dan intipan di setiap kawasan panas.

“Semua laluan keluar dari hutan simpan akan dipantau, jabatan juga akan bekerjasama dengan penduduk setempat dan masyarakat Orang Asli untuk mereka memberi maklumat sekiranya melihat kegiatan mencuri balak terutama pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata, selain kegiatan mencuri balak daerah ini turut terkenal dengan aktiviti melombong emas secara haram. Operasi lombong diadakan setiap tahun, pemeriksaan turut dilakukan secara berterusan.

Berita Harian X