Sabtu, 19 Oktober 2019 | 5:17pm

Kanak-kanak perempuan hilang

KUALA LUMPUR: Seorang murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Choh, Rawang, berusia 12 tahun dilaporkan hilang sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Ab Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu, Intan Nur Alyssa Qaseh Mohd Jais dari ibu tiri mangsa berusia 46 tahun.

“Mengikut laporan dibuat ibu tiri itu, kanak-kanak perempuan berkenaan tiada di sekolah ketika wanita terbabit mahu menjemput murid itu jam 12.15 tengah hari semalam.

“Wanita terbabit turut memberitahu abang kanak-kanak itu menghantarnya ke sekolah pada pagi hari sama dan dilihat masuk ke pekarangan kawasan sekolah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Azman berkata, semakan kehadiran kanak-kanak itu dengan pihak sekolah mendapati dia tidak hadir ke sekolah itu.

“Susulan itu, ibu tiri mangsa yang juga suri rumah membuat laporan di Balai Polis Serendah pada jam 11.07 malam tadi.

“Kanak-kanak yang dikategorikan sebagai orang hilang itu kali terakhir dilihat memakai seragam sekolah dan dipercayai tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengeluarkan hebahan Nur Alert menerusi platform media sosial masing-masing bagi memohon bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak itu.

Berita Harian X