Sabtu, 19 Oktober 2019 | 4:43pm
Unit Risikan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak telah berjaya menumpaskan satu sindiket seleweng minyak petrol dalam satu tangkapan yang dijalankan di Jalan Sibiyu. - NSTP/Erika George
Unit Risikan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak telah berjaya menumpaskan satu sindiket seleweng minyak petrol dalam satu tangkapan yang dijalankan di Jalan Sibiyu. - NSTP/Erika George

Cubaan seleweng 400 liter petrol gagal

BINTULU: Sejumlah 400 liter petrol bernilai RM120,000 berjaya `diselamatkan’ dalam satu serbuan di Jalan Sibiyu, di sini oleh Unit Risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak semalam.

Serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu susulan maklumat risikan berhubung kegiatan penyelewengan bahan api itu di lokasi berkenaan.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim, berkata dalam serbuan itu, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux digunakannya.

“Ketika ditahan, suspek dari arah Sibu menuju ke Bintulu. Hasil pemeriksaan lanjut dalam kenderaan digunakannya membawa penemuan dua tong biro di bahagian belakang 4WD berkenaan, dengan setiap satunya mengandungi 200 liter petrol,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek yang juga pemborong dan pengedar petrol terbabit menyimpan bahan api itu tanpa lesen sah dan menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Perintah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kes ini akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bintulu untuk tindakan lanjut.

“Petrol dan 4WD yang dipandu suspek turut disita dan diserahkan kepada KPDNHEP Cawangan Bintulu sebagai bahan bukti kes,” katanya.

Katanya, dengan penahanan suspek, PPM Wilayah 5 Sarawak berjaya mengekang satu lagi cubaan penyelewengan bahan api di daerah ini.

Berita Harian X