Sabtu, 19 Oktober 2019 | 4:34pm

Polis bantuan wanita mati dibunuh, polis tahan lelaki bekas rakan serumah

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan malam tadi selepas disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang wanita yang juga anggota polis bantuan di sebuah apartmen di Damansara Damai, di sini.

Dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 12.40 tengah malam kelmarin itu, mangsa berusia 25 tahun ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan lebam di dahi, mata dan bawah leher serta pendarahan di hidung oleh adik angkatnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata sebaik menerima maklumat itu sepasukan pegawai dan anggota bertugas bergegas ke lokasi sebelum mendapati rumah berkenaan dalam keadaan tidak terurus, namun tiada tanda dipecah masuk.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan di pekarangan Balai Polis Kampung Baru Subang pada jam 8.40 malam tadi untuk membantu siasatan.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita itu akibat ditekup dipercayai menggunakan bantal sehingga menyebabkan halangan pada saluran pernafasan mangsa.

“Selain itu, hasil bedah siasat juga mendapati kecederaan di bahagian kepala mangsa disebabkan hentakan atau pukulan menggunakan objek tumpul dan lebam di kedua-dua mata dipercayai ditumbuk, selain hentakan kuat menyebabkan hidung mangsa patah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, telefon bimbit dan dompet milik mangsa juga didapati hilang, tetapi tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut mendapati rumah itu disewa suspek yang juga bekas rakan serumah mangsa di kediaman berkenaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini serta kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berita Harian X