Khamis, 17 Oktober 2019 | 8:12pm
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan treler muatan simen dengan Perodua Myvi dan Proton Persona di Kilometer 187.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. - Ihsan Bomba

Suami maut, isteri parah

BAGAN SERAI: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 187.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah malam itu, pemandu Perodua Myvi, G Shanmugam, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya V Kalaiselvi, 39, parah akibat tersepit.

Turut cedera dalam kemalangan itu ialah pemandu treler muatan simen susulan tersepit dalam kenderaan dipandunya dan seorang lagi pemandu Proton Persona.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Abdul Nasir Jalil, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 1.06 pagi.

“Seramai 20 anggota termasuk bantuan dari BBP Kamunting bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan treler muatan simen dengan Perodua Myvi dan Proton Persona dengan seorang mangsa maut dan tiga lagi cedera

“Pemandu treler yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas dengan bantuan dua kren.

“Mangsa yang maut dan cedera kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemalangan maut berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 12.30 tengah malam dan Perodua Myvi dipandu mangsa menghala utara sebelum dipercayai hilang kawalan dan melintang di laluan kiri lebuh raya itu.

“Pada masa sama, sebuah treler yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan mangsa, menyebabkan kereta itu berpusing dan berada di laluan kanan sebelum dirempuh pula Proton Persona,” katanya.

Omar Bakhtiar berkata pemandu Perodua Myvi dilaporkan maut di lokasi kejadian dan isterinya serta pemandu lori treler parah akibat tersepit manakala pemandu Proton Persona hanya mengalami kecederaan ringan di dada.

“Mangsa yang maut di bawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X