Khamis, 17 Oktober 2019 | 3:30pm

Dua maut pacuan empat roda rempuh belakang treler

NILAI: Dua rakan maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki merempuh belakang treler di Kilometer 273, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 1.55 pagi itu menyebabkan Goon Chin Keat, 38, dan rakan wanitanya, Chong Pohy Yok, 37, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Chin Keat dari Kuala Lumpur ke Seremban, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

Katanya, kenderaan mangsa kemudian merempuh belakang sebuah treler yang sedang berhenti di jalan susur keluar R&R Seremban.

“Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang pacuan empat roda meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala serta badan.

“Bagaimanapun, pemandu treler berusia 49 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X