Rabu, 16 Oktober 2019 | 2:16pm
RUMAH dua beranak yang menjadi mangsa pembunuhan kejam mayat dikerat lapan di Taman Merdeka Jaya. NSTP/Khairunisah Lokman

Siasatan kes bunuh, kerat mayat adil

MELAKA: Polis tidak mendedahkan terlalu banyak maklumat berkaitan pembunuhan kejam dua beranak yang bahagian mayat ditemui di dalam semak, Kampung Ladang, Perindustrian Krubong, Khamis lalu, supaya tidak mengganggu siasatan.

Sambil menekankan siasatan yang adil, Ketua Polis Negeri, Datuk Mat Kasim Karim, berkata sudah banyak kenyataan dikaluarkan berhubung kes itu.

“Saya perlu adil dengan semua pihak. Kes ini sudah banyak kenyataan (dikeluarkan).

“Biarlah pegawai penyiasat siapkan (kertas) siasatan. Selesai sahaja siasatan untuk proses tuduh, kita maklum (media),” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Pembunuhan dua beranak itu yang mula dilaporkan pada Khamis lalu menarik perhatian ramai kerana mayat yang dipotong serta dibuang ke beberapa lokasi termasuk di kawasan semak di Krubong.


Anggota polis forensik mengutip cebisan mayat bahagian manusia di kawasan perindustrian di Kampung Ladang, Krubong. - NSTP/Rasul Azli Samad

Sehingga ini, polis tidak mendedahkan identiti mangsa atau punca kejadian itu.

Seorang lelaki warga Singapura dipercayai suami kepada mangsa wanita itu ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

Sumber berkata mayat mangsa dipercayai wanita yang berusia 27 tahun dan anak lelakinya, 11 tahun, dibunuh di rumah mereka di Taman Merdeka Jaya dan dicampakkan ke kawasan semak.

Kepala dua beranak itu ditemukan di loteng rumah mangsa, sekitar jam 8 malam, Jumaat lalu.

Sementara itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Burhanuddin Bachik berkata pihaknya sudah menjalankan rawatan susulan terhadap ibu mangsa wanita yang juga seorang balu dan menghidap barah otak.

“Beliau masih perlukan sokongan moral dan pihak jabatan akan terus membantu memberi khidmat berterusan kepadanya,” katanya.

Difahamkan hampir 95 peratus bahagian anggota badan mangsa dua beranak itu sudah ditemui kecuali pergelangan tangan yang dikatakan dibuang ddalam tong sampah dan diangkut pekerja.

Berita Harian X