Selasa, 15 Oktober 2019 | 5:30pm
Muhammad Firdaus Wong Abdullah diiringi polis di Mahkamah Sesyen selepas dijatuhi hukuman. - NSTP/Norizuan Shamsuddin

Lelaki menangis ketika rayu hukuman atas kesalahan amang seksual

KUALA TERENGGANU: Lelaki menangis sambil memohon maaf di kandang tertuduh ketika merayu selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan empat sebatan kerana melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Wong Abdullah, 44, dari Jalan Sultan Omar, di sini, turut diarahkan supaya diletakkan bawah pengawasan polis selama setahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang juga anak kenalannya di sebuah kediaman di Batu Burok, di sini, antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, pada 6 Februari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan iaitu dua membabitkan mangsa sama dan satu pertuduhan terhadap adik lelaki mangsa yang berusia lima tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan atas pertuduhan merogol kanak-kanak itu di sebuah rumah di Batu Burok, di sini, antara jam 8.30 malam hingga 10 malam, tahun lalu.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat mangsa sama di sebuah rumah di daerah ini, antara jam 8.30 malam hingga 10 malam, tahun lalu.

Manakala bagi pertuduhan terhadap adik mangsa, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan atas pertuduhan meliwat kanak-kanak lelaki terbabit di sebuah rumah di bandar raya ini, sekitar jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, pada 6 Februari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengekalkan pengakuan tidak salah bagi tiga pertuduhan terbabit dan mohon dibicarakan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan merogol, persetubuhan luar tabii dan amang seksual kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak.

Berita Harian X