Selasa, 15 Oktober 2019 | 12:13pm
KEADAAN rumah yang dipercayai disewa mangsa susulan kejadian menjumpai keratan mayat manusia di Kampung Ladang, Krubong ketika tinjauan di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam. NSTP/Rasul Azli Samad

Siasatan kes bunuh kerat lapan 98 peratus siap

MELAKA: Siasatan kes pembunuhan kejam dua beranak yang menggemparkan negara apabila mayat mereka dikerat lapan sebelum dibuang dalam kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong, 4 petang, Khamis lalu, sudah 98 peratus siap.

Polis menyifatkan siasatan kes itu selesai selepas suspek ditahan Sabtu lalu.

Setakat ini, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim, berkata siasatan hanya fokus kepada permasalahan keluarga manakala perkara lain turut diberi perhatian.

Mat Kasim ketika dihubungi menjelaskan tiada pihak lain ditahan kerana lingkungan siasatan polis adalah aspek masalah keluarga sehingga terjadinya pembunuhan kejam berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas apabila ditanya adakah suspek warga Singapura berkenaan akan didakwa minggu ini, sebaliknya menjelaskan siasatan masih dijalankan.

Khamis lalu media melaporkan seorang pemotong rumput menemui bahagian badan yang dipotong-potong dipercayai daripada dua individu di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong.

Susulan itu, Sabtu lalu, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam itu.

Hari ini, akhbar melaporkan bahagian kepala wanita dan seorang budak lelaki ditemui disorok di siling rumah mangsa di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka oleh sepasukan polis kira-kira 8 malam, Jumaat lalu.

Berita Harian X