Ahad, 13 Oktober 2019 | 11:41am
SEORANG penunggang motosikal maut akibat lemas selepas terbabas ke dalam parit ketika dipercayai cuba mengelak sekumpulan kerbau yang melintas di Jalan Estate Bongawan, Kampung Gentua, Papar, semalam. - Foto ihsan polis

Maut elak kerbau

PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut akibat lemas selepas terbabas ke dalam parit ketika dipercayai cuba mengelak sekumpulan kerbau yang melintas di Jalan Estate Bongawan, Kampung Gentua, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, Jaidi Jacob, 34, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan dari Kampung Ambatuan menuju Borneo Golf, Bongawan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang cuba mengelak kumpulan kerbau dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke parit di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit, berkata berikutan kejadian itu, mangsa tercampak ke kiri jalan sebelum terhumban ke dalam parit.

Katanya, motosikal mangsa yang masih berada di jalan menyebabkan kejadian disedari pengguna jalan raya yang lain.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa berada dalam parit dan dipercayai mati lemas.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bartholomew berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X