Sabtu, 12 Oktober 2019 | 6:49pm
Sri Rahayu Sugiono menunjukkan kesan lecur pada telinga anaknya Nur Haffiqah Khalid, 4, sambil disaksikan dua lagi anaknya Mohd Haffizal Khalid, 5, dan Nur Haffizah Khalid, 6, selepas dibenarkan mereka sekeluarga dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya hari ini selepas menjadi mangsa kejadian letupan belon helium yang berlaku pada Program Kecergasan sempena Hari Sukan Negara pagi tadi. - Foto BERNAMA

Insiden belon meletup: 6 masih dirawat kerana melecur

PUTRAJAYA: Lima mangsa dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun masih dirawat di wad Hospital Putrajaya kerana kecederaan melecur tahap dua, susulan insiden belon meletup di Dataran Putrajaya hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keadaan mereka bagaimanapun stabil, manakala 10 lagi mangsa sudah dibenarkan keluar kira-kira jam 5 petang tadi.

“Enam mangsa yang ditahan di wad ini kerana mengalami kesan melecur tahap dua, atau menggelupas di beberapa bahagian muka.

“Mereka stabil, tapi pegawai perubatan kita akan terus pantau susulan kesan trauma kejadian selain turut memberi kaunseling,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa, di sini hari ini.

Ditanya sama ada gas helium dalam belon menjadi punca kejadian sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesan melecur tahap dua itu, beliau menyerahkan siasatan berkenaan kepada polis.

“Helium dalam belon tidak ada masalah. Ia masih dalam siasatan jadi tidak wajar untuk saya beri komen,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata pihaknya akan memberi keutamaan kepada mangsa mendapatkan rawatan terlebih dahulu sebelum mendapatkan laporan penuh insiden yang berlaku.

“Mereka perlu diberi masa, ada yang enggan bercakap kerana emosi mereka belum stabil.

“Apa yang penting adalah supaya rawatan terbaik diberikan kepada mangsa, selepas itu baru kita tumpukan kepada laporan kejadian, kita akan tahu nanti, tapi buat masa ini bukan keutamaan,” katanya.

Dalam kejadian jam 11.34 pagi tadi, seramai 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak melecur susulan belon meletup selepas selesai Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.

Mangsa yang terbabit adalah sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berusia antara empat hingga 30-an.

Berita Harian X