Khamis, 10 Oktober 2019 | 10:42am

Maut rempuh lori pasir

KAJANG: Seorang maut selepas lori dinaiki mereka merempuh belakang lori muatan pasir di Kilometer 14.8 di Lebuh Raya Penyuraian Lingkaran Trafik Kajang (SILK).

Dalam kejadian kira-kira pada jam 5.50 pagi tadi itu, penumpang lori, Amir Haiqal Jajuli, 20, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah akibat tersepit.

Seorang lagi penumpang, Muhammad Nurnazmi Nor, 20, juga cedera parah akibat tersepit, manakala pemandu lori, Huzairy Jajuli, 28, cedera ringan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi.

Katanya, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan penyelamat dengan sembilan anggota bersama sebuah jentera mendapati satu kemalangan membabitkan sebuah lori satu tan membawa muatan ayam beku merempuh belakang sebuah lori muatan pasir.

“Kedua-dua penumpang tersepit di bahagian hadapan dan cedera parah. Mangsa kemudian dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hafisham berkata, seorang mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X