Khamis, 10 Oktober 2019 | 8:02am
Mohd Zainuddin Md Zain, 40, maut selepas dihempap pokok rumbia yang ditebangnya di Kampung Tok Salam, Naka, Kuala Nerang petang semalam. - Foto ihsan Pembaca

Maut ditimpa pokok yang ditebang

PADANG TERAP: Seorang lelaki maut selepas ditimpa pokok rumbia yang ditebangnya di Kampung Tok Salam, Kubang Kenyeng, Naka di sini.

Kejadian sekitar jam 5.50 petang semalam itu mengakibatkan Mohd Zainuddin Md Zain, 40, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris, berkata sebelum kejadian mangsa melakukan kerja menebang pokok berkenaan bersama-sama seorang rakan.

“Dipercayai semasa pokok hendak tumbang, mangsa cuba melarikan diri, namun kakinya tersangkut pada akar menyebabkan mangsa terjatuh dan terus dihempap pokok rumbia yang tumbang.

“Pokok itu menghempap mangsa separuh badan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Nerang oleh pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noh berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan kes masih dalam siasatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Berita Harian X