Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:23am
Ketua Polis Daerah Kajang ,Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof. - Foto Rosela Ismail

Penyamun larikan tiga kenderaan

KAJANG: Lima lelaki melarikan tiga kenderaan pacuan empat roda dari sebuah pusat pameran kereta di Sungai Jelok, di sini.

Kumpulan lelaki terbabit memecah masuk premis berkenaan kira-kira pada jam 4.08 pagi semalam dengan bersenjatakan parang sebelum melarikan tiga kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata ketika kejadian, premis berkenaan mempunyai seorang pengawal keselamatan warga Pakistan berusia 47 tahun.

Ahmad Dzaffir menjelaskan, suspek bertindak mengikat pengawal keselamatan terbabit sebelum melarikan kenderaan itu.

“Nilai kerugian dianggarkan hampir RM600,000.

“Polis sedang mengesan kumpulan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi polis.

Orang awam juga boleh ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hafizah Abdul Latiff di talian 016-606 0955.

Berita Harian X