Rabu, 9 Oktober 2019 | 8:09pm
KETUA Polis Daerah Ampang Jaya Selangor, ACP Noor Azmi Yusoff menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes jenayah ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Polis buru 2 beranak Pakistan

AMPANG: Polis memburu dua beranak warga Pakistan bagi membantu siasatan kes penipuan bernilai RM36,800 membabitkan pengurusan dokumen visa pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata individu terbabit dikenal pasti sebagai Naseem berusia lingkungan 50-an dan Muhammad Asadullah, 28, masing-masing beralamat terakhir di A-13A-03, Kondominium D-Pines, Jalan Cempaka 6, Taman Nirwana, Ampang.

Katanya, semakan polis dengan Jabatan Imigresen turut mendapati visa itu palsu dan tiada dalam rekod jabatan itu.

“Kita terima aduan daripada seorang lelaki warga Pakistan mengenai penipuan visa oleh dua beranak berkenaan.

“Muhammad Asadullah pernah dipanggil dan diambil keterangan malah turut memfitnah pegawai penyiasat kes meminta suapan berjumlah RM7,000 untuk menyelesaikan kes terbabit.

“Ia menyebabkan pegawai itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan direman selama empat hari sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan melakukan penipuan,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, polis giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan wanita warga emas yang ditemui maut dalam keadaan tangan terikat di sebuah flat di Tasik Tambahan Ampang, 19 September lalu.

Katanya, hasil siasatan turut mendapati individu dikenal pasti sebagai K Sathiaraj, 27, itu adalah gelandangan.

“Berdasarkan bukti baharu, kita memburu seorang lelaki yang beralamat terakhir di flat sama.

“Sathiaraj mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu dua kes dadah dan satu lagi kes jenayah,” katanya.

Sebelum ini, mangsa yang dilaporkan ditemui anak lelakinya dalam keadaan diikat tangan di belakang dan bahagian kepala ditutup dengan kain dipercayai diserang secara seksual.

Berita Harian X