Selasa, 8 Oktober 2019 | 11:38pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kanan) memberi taklimat mengenai pencegahan jenayah kepada orang ramai ketika hadir Program Kepolisan Berprofil Tinggi di kawasan Bukit Bintang, malam ini. - NSTP/Aswadi Alias
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memberi taklimat mengenai pencegahan jenayah kepada orang ramai ketika hadir Program Kepolisan Berprofil Tinggi di kawasan Bukit Bintang, malam ini. - NSTP/Aswadi Alias
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) memberi taklimat mengenai pencegahan jenayah kepada orang ramai ketika hadir Program Kepolisan Berprofil Tinggi di kawasan Bukit Bintang, malam ini. - NSTP/Aswadi Alias

Pegawai polis antara yang ditahan terbabit kegiatan pemerasan

KUALA LUMPUR: Empat suspek, termasuk seorang pegawai polis ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerasan di Brickfields, di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika mengesahkan penahanan itu, berkata pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota polis yang didapati terbabit dalam kegiatan jenayah.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

“Kita pandang serius kes jenayah membabitkan pegawai atau anggota polis, dan mereka tidak sepatutnya berbuat demikian, mereka yang seharusnya melindungi rakyat dari kegiatan jenayah.

“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai polis terbabit, siasatan masih berjalan,” katanya selepas menghadiri Program Kepolisan Berprofil Tinggi di kawasan Bukit Bintang, di sini malam ini.

Mazlan berkata, siasatan awal mendapati cara pemerasan dilakukan kumpulan terbabit mirip modus operandi kumpulan gangster tertentu.

“Setakat ini, cara mereka melakukan pemerasan seakan sama dengan cara kumpulan gangster bertindak, kita masih dalam proses mengenal pasti elemen berkenaan,” katanya.

BH difahamkan, keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 30-an terbabit ditahan ketika cuba memeras pengurus kepada sebuah projek pembinaan di kawasan Brickfields.

Suspek cuba meminta bayaran sebagai upah untuk melindungi kawasan tapak pembinaan terbabit daripada sebarang gangguan kumpulan gangster.

Mengulas mengenai program hari ini, Mazlan berkata kehadiran polis di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang diharap dapat mengurangkan kejadian jenayah.

“Saya juga nasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa penyeluk saku untuk membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.

Berita Harian X