Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:46pm
SAKSI pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada perbicaraan bagi kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

Hubungan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan renggang pada 2009

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu hubungan antara kerajaan negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan renggang pada Mei 2009.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata beliau diberitahu mengenai perkara itu oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata Jho Low memberitahunya bahawa ia adalah ‘political fight’ (perbalahan politik) di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Jho Low beritahu saya, Menteri Besar Terengganu pun sudah mula bising-bising ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada sesi pemeriksaan balas, sama ada beliau pernah bertanyakan Jho Low mengapa wakil Istana Terengganu mempersoalkan mengenai ahli perniagaan itu.

Menurut Muhammad Shafee, perihal Jho Low dibangkitkan walaupun sebelum ini ahli perniagaan itu membawa membawa Sultan Mizan menyaksikan Dana Berdaulat Abu Dhabi, Mubadala Investment Co di Abu Dhabi.

Muhammad Shafee kemudian merujuk saksi kepada surat bertarikh 12 Disember 2008 berhubung penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum Najib dilantik menjadi Perdana Menteri.

Surat terbabit yang menggariskan penubuhan TIA dengan dana berjumlah RM10 bilion diperoleh melalui pengeluaran bon yang dijamin kerajaan sebanyak RM5 bilion.

Selepas meneliti surat berkenaan, Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa idea penubuhan TIA bermula pada zaman Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Berita Harian X