Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:52pm
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob (dua dari kiri) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob (dua dari kiri) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Polis tahan tukang gunting rambut sembunyi dadah dalam kedai

BAGAN SERAI: Polis menahan seorang tukang gunting rambut apabila menemui dadah disyaki heroin seberat 214.15 gram (g) di dalam kedai miliknya itu di Jalan Persiaran Perwira, Pusat Bandar Parit Buntar, di sini, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu ditahan anggota polis yang sedang membuat rondaan kira-kira jam 4.30 petang, berikutan dilihat berkeadaan mencurigakan di luar kedai, sebelum suspek menunjukkan semua dadah disembunyikan di dalam premis itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata terdahulu berlaku pergelutan apabila suspek cuba melarikan diri tetapi gagal.

“Selepas ditahan, hasil pemeriksaan polis menemui satu bungkusan aluminium di dalam poket belakang bahagian kanan seluar suspek. Dalam bungkusan itu, ada tiga peket lutsinar dipercayai heroin seberat 61.31g.

“Suspek kemudian menunjukkan tempat simpanan dadah di dalam premis. Susulan itu, semua dadah dianggarkan lebih RM7,000 dirampas, manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai baru berjinak dalam kegiatan pengedaran dadah dan menjualnya dengan harga RM35 segram, sementara kedai itu pula sudah beroperasi lebih dua tahun.

Beliau berkata, suspek ditahan reman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an di tepi jalan di Bagan Utara, Tanjung Piandang, di sini, Jumaat lalu, selepas pemeriksaan menemui heroin seberat 111.15g dan 6.55g methamphetamine.

Omar Bakhtiar berkata, suspek didapati baru dibebaskan selepas ditahan pada 19 September lalu, dan kini direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Berita Harian X