Isnin, 7 Oktober 2019 | 8:44am

507 saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu JSPT KL

KUALA LUMPUR: Sebanyak 507 saman dikeluarkan polis dalam Op Bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur, di hadapan kawasan pusat membeli belah di Jalan Raja Laut tengah malam tadi.

Dalam operasi selama tiga jam bermula 11.30 malam itu, kesalahan membabitkan tiada lesen kenderaan memandu (LKM) dan LKM tamat tempoh, mencatatkan saman paling tinggi iaitu 275 saman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata 730 kenderaan diperiksa di empat lokasi iaitu di Jalan Raja Laut, Jalan Semarang, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Bangsar.

“Daripada jumlah itu, 27 motosikal dan lima kereta disita atas pelbagai kesalahan. Kebanyakan motosikal disita ekoran pengubahsuaian tidak dibenarkan, termasuk menggunakan nombor plet tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

ANGGOTA JPJ memeriksa lesen memandu penunggang mostosikal pada Ops Bersepadu Motosikal dan Pelbagai Kesalahan oleh Jabatan Siasatan Pengguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, JPJ dan JAS di Jalan Raja Laut. - Foto NSTP/Aswadi Alias

“Operasi yang disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan notis untuk hadir menjalankan pemeriksaan kepada pemilik kenderaan, yang didapati menggunakan ekzos mendatangkan pencemaran bunyi, tidak mempunyai cermin sisi dan lain-lain lagi,” katanya pada sidang media selepas operasi berakhir.

Mengenai trend penggunaan ekzos bising dan nombor plet tidak mengikut spesifikasi yang berleluasa, Mazlan berkata pihaknya akan mengenal pasti kedai, mahupun bengkel yang menyedia atau membekalkannya bagi mengurangkan gejala itu di masa hadapan.

“Jika diikutkan, perkara ini perlu dilihat daripada sumber penjualan barang berkenaan. Ada bengkel atau kedai yang membekalkannya, jadi sudah tentu ada pelanggan yang akan membeli dan memasang benda itu,” katanya. - BERNAMA

KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (dua kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya (kanan) memeriksa motosikal pada Ops Bersepadu Motosikal dan Pelbagai Kesalahan oleh Jabatan Siasatan Pengguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, JPJ dan JAS di Jalan Raja Laut. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X