Sabtu, 5 Oktober 2019 | 5:22pm

Nelayan Vietnam terjun laut elak ditangkap

KUALA TERENGGANU: Sekumpulan 16 nelayan Vietnam bertindak terjun dan berenang sejauh 100 meter sebelum memanjat tangga pelantar minyak dalam usaha melarikan diri bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini, semalam.

Bagaimanapun tindakan kumpulan terbabit tidak berhasil apabila mereka ditahan ketika berada di bahagian tangga pelantar berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid, berkata kejadian berlaku ketika nelayan asing terbabit sedang melakukan kegiatan penangkapan ikan secara haram di lokasi 108 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, jam 9.57 pagi.

Katanya, kehadiran nelayan terbabit di kawasan berkenaan dikesan Kapal Maritim yang menjalankan rondaan Op Naga Barat dan Op Iman di perairan berhampiran pelantar Begading.

“Menyedari kehadiran kapal maritim, nelayan terbabit cuba melarikan diri dengan menaiki bot menghala ke arah pelantar yang terletak kira-kira lima batu nautika dari kawasan mereka menangkap ikan.

BOT Vietnam bersama 16 awak-awak termasuk tekong berjaya ditahan dekat pelantar minyak Bargading CPP di lokasi 108 nautika dari muara Kuala Terengganu. - Foto ihsan MARITIM
BOT Vietnam bersama 16 awak-awak termasuk tekong berjaya ditahan dekat pelantar minyak Bargading CPP di lokasi 108 nautika dari muara Kuala Terengganu. - Foto ihsan MARITIM

“Sebaik menghampiri pelantar, kesemua nelayan terbabit termasuk tekong berusia antara 15 hingga 47 tahun bertindak terjun ke laut dan berenang menghala ke pelantar Begading serta membiarkan bot mereka hanyut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan kumpulan nelayan terbabit disedari pekerja pelantar yang kemudian bertindak membantu membawa anggota maritim naik ke pelantar menggunakan kren sebelum berjaya menahan semua nelayan asing terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati semua nelayan asing terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kami turut merampas hasil tangkapan, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang semuanya dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

“Bot terbabit dibawa ke Jeti APMM Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, sejak 26 April 2019 sehingga hari ini pihaknya berjaya membuat pemeriksaan sebanyak 1,967 dan 112 tangkapan yang merangkumi semua pemeriksaan dan tangkapan daripada pelbagai agensi yang terbabit menerusi Op Naga Barat Siri 1/2019.

NELAYAN Vietnam terjun ke laut cuba naik ke pelantar minyak Bargading CPP, di lokasi 108 nautika dari muara Kuala Terengganu. - Foto ihsan MARITIM
NELAYAN Vietnam terjun ke laut cuba naik ke pelantar minyak Bargading CPP, di lokasi 108 nautika dari muara Kuala Terengganu. - Foto ihsan MARITIM
Berita Harian X