Sabtu, 5 Oktober 2019 | 4:58pm
KETUA Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit. - Foto ihsan PDRM
KETUA Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit. - Foto ihsan PDRM

Macau Scam: Kerugian mangsa di Sibu cecah RM14 juta tahun ini

SIBU: Kerugian dialami mangsa sindiket Macau Scam di daerah ini mencecah RM14 juta dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata ia meningkat berbanding jumlah kerugian sebanyak RM6.1 juta direkodkan tahun lalu.

Katanya, sebanyak 169 kes penipuan dalam talian dilaporkan di daerah ini pada tahun lalu, manakala tahun ini setakat September lalu, sebanyak 154 laporan sudah diterima.

Beliau berkata, perkembangan itu amat membimbangkan kerana masih ramai gagal menyedari ditipu apabila menerima panggilan orang tidak dikenali yang mengaku kononnya penjawat awam atau pegawai bank.

“Kebanyakan mangsa penipuan di sini terlalu mudah mempercayai pelbagai dakwaan pemanggil yang mereka tidak kenali itu.

“Mangsa mudah panik dan mengikut saja arahan pihak yang menipu, termasuk memindahkan wang daripada akaun mereka ke akaun penjenayah terbabit,” katanya kepada media, di sini.

Beliau berkata, berdasarkan kebanyakan laporan kes, mangsa terperdaya selepas penjenayah menakut-nakutkan mereka dengan dakwaan kononnya terbabit pengedaran dadah dan pengubahan wang haram, memiliki saman tertunggak serta pinjaman wang tidak wujud.

“Tahun lalu, polis menahan 61 suspek kes penipuan dalam talian itu. Dalam tempoh sembilan bulan tahun ini pula, sebanyak 64 tangkapan berjaya dilakukan,” katanya.

Berita Harian X