Jumaat, 4 Oktober 2019 | 7:38pm
MAZLAN (kiri) pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM berkenaan ‘Judi Online (JOL), di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. NSTP/Zulfadhli Zulkifli.
MAZLAN (kiri) pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM berkenaan ‘Judi Online (JOL), di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. NSTP/Zulfadhli Zulkifli.

7 sindiket judi kaut RM24 juta sebulan tumpas

KUALA LUMPUR: Seramai 232 lelaki dan 15 wanita warga China membabitkan tujuh sindiket perjudian dalam talian ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar ibu negara, sejak 25 September lalu.

Sindiket berkenaan yang beroperasi dari unit kondominium mewah di sekitar Jalan Kerinchi, Jalan Cheras, Jalan Desa Bahagia, Bangsar South, Jalan Ceylon dan Jalan Mayang Sari, di sini, mampu mengaut keuntungan lebih RM24.75 juta sebulan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata modus operandi sindiket judi dalam talian ini adalah beroperasi dari Malaysia dan menyasarkan ‘kaki judi’ dan pelanggan yang berada di China.

“Pemain dan pelanggan di China akan ditawarkan untuk bermain judi dalam laman web yang direka oleh sindiket menerusi aplikasi WeChat.

“Selepas berminat dengan permainan judi yang ditawarkan, pelanggan akan diminta oleh pusat operasi sindiket atau ‘calling centre’ di Malaysia untuk memasukkan jumlah wang dalam akaun tertentu sebelum diberikan kata kunci,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui kata kunci yang diberikan, pemain atau pelanggan boleh membuka laman web perjudian mengandungi ratusan jenis permainan judi dalam talian, seterusnya membolehkan mereka membuat pertaruhan.

“Tindakan sindiket dari China menjalankan kegiatan mereka di Kuala Lumpur adalah bagi mengelakkan pihak berkuasa di China menjejaki kegiatan mereka.

“Namun berdasarkan maklumat orang ramai dan perisikan pihak polis, kami dapat mengesan kedudukan mereka meskipun beroperasi dari dalam kondominium mewah yang dilengkapi sistem kawalan keselamatan yang ketat,” katanya.

Operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Dang Wangi dan Cheras itu turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang bertindak sebagai penjaga kepada sindiket berkenaan.

Mazlan berkata, bagi mengelak kegiatan mereka dicurigai oleh pihak pengurusan dan penduduk berhampiran, pengendali judi dalam talian warga China itu akan berada dalam sesebuah unit kediaman mewah itu tanpa keluar dalam tempoh satu hingga tiga bulan manakala ada pihak yang akan membekalkan barangan keperluan mereka.

“Mereka (warga China) yang mahir dalam pengendalian komputer dan IT akan dibayar RM3,000 sebulan dan masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Kesemua mereka akan ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen.

Berita Harian X