Khamis, 3 Oktober 2019 | 11:20am
Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung siasatan kes kematian Muhammad Adib. - Arkib NSTP

Kes Adib: Polis tunggu arahan Peguam Negara

PUTRAJAYA: Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung siasatan kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya setakat ini masih belum menerima arahan lanjut.

“Kami belum menerima (arahan) rasmi. Jadi, apabila kita menerimanya, kita akan menyemaknya dan lihat apa yang akan kita lakukan,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan buku kepada Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemuka.

Berita Harian X