Rabu, 2 Oktober 2019 | 7:16am
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli . - Foto Faiz Anuar
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli . - Foto Faiz Anuar

Pasangan dipercayai dera budak hingga mati ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan sepasang suami isteri pagi semalam, selepas dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun bawah jagaan mereka, Ahad lalu.

Pasangan itu turut disyaki melakukan penderaan terhadap dua anak lelaki suspek wanita, berusia lapan dan lima tahun serta seorang lagi kanak-kanak asuhannya berusia empat tahun yang juga kembar kepada mangsa meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.21 tengah hari Ahad lalu, mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di kediaman pengasuhnya di Jalan Yadi, Klang.

Katanya, kematian mangsa disahkan pihak ambulans yang dihantar ke rumah berkenaan.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap mayat petang kelmarin mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada abdomen yang berpunca daripada hentakan objek tumpul.

“Ada beberapa kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuh mangsa. Kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu ditahan jam 11 pagi tadi (semalam) di Klang,” katanya di sini, malam tadi.

Shamsul Amar berkata, ketika proses siasatan terhadap kedua-dua suspek, pegawai penyiasat memeriksa badan dua kanak-kanak lelaki yang bersama suspek wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun yang dibawa ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Katanya, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga kanak-kanak mengalami kecederaan fizikal pada tubuh mereka, dipercayai akibat didera oleh suspek.

Beliau berkata, dua kanak-kanak lelaki itu didapati anak suspek wanita berkenaan, hasil dua perkahwinan terdahulu manakala pasangan kembar perempuan termasuk mangsa yang meninggal dunia adalah anak asuhan pasangan terbabit.

“Anak mangsa kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan mendapati pasangan itu berkahwin di Sarawak kira-kira empat bulan lalu.

“Perintah reman terhadap kedua-dua suspek akan dimohon hari ini di Mahkamah Majistret Klang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X