Selasa, 1 Oktober 2019 | 9:09pm
KEJADIAN pokok tumbang di Taman Sri Rampai.

Pokok tumbang, banjir kilat sekitar KL

KUALA LUMPUR: Hujan lebat yang melanda beberapa lokasi sekitar ibu negara petang tadi menyebabkan beberapa kejadian pokok tumbang dan banjir.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kuala Lumpur, berkata dalam kejadian pokok tumbang di Wisma FELCRA, Jalan Rejang, Setapak di sini, lapan buah kenderaan mengalami kerosakan.

“Sebatang pokok yang tumbang menyebabkan lapan unit kenderaan yang diletakkan di hadapan wisma berkenaan mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di Taman Sri Rampai, di sini, selepas sebatang pokok menghempap bahagian gazebo, pagar pejabat dan bumbung sebuah bangunan.

KEJADIAN pokok tumbang di Taman Sri Rampai.

“Sebanyak dua jentera bomba dari Balai Bomba Penyelamat Wangsa Maju dan Balai Bomba Penyelamat Setapak dikejarkan ke dua lokasi berkenaan dengan kekuatan 15 pegawai dan anggota,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memaklumkan bahawa kejadian pokok tumbang dan bumbung runtuh akibat ditiup angin kuat turut berlaku di beberapa kawasan lagi di Taman Sri Rampai, Jalan Rejang dan Pusat Perniagaan Rampai Niaga.

“Kejadian pokok tumbang turut berlaku di pagar sebuah masjid dan Tasik Sri Rampai serta rumah kedai di kawasan berhampiran,” katanya.

Hujan lebat yang berlaku juga turut menyebabkan kejadian banjir di Flat PKNS, Jalan Tun Razak, di sini.

Kejadian banjir setinggi 1 meter itu dilaporkan berlaku akibat daripada masalah sistem perparitan di Sungai Klang, bersebelahan kawasan flat berkenaan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian ini.

ANGGOTA bomba memotong pokok yang tumbang di Taman Sri Rampai.

Berita Harian X