Selasa, 1 Oktober 2019 | 5:13pm

Penjual nasi ayam kena 'scam'

KUCHING: Gara-gara panik digertak penipu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seorang penjual nasi ayam di sini kerugian RM27,000 Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata wanita berusia 39 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Faizal Annuar’, mendakwa mangsa terbabit kes rasuah, dadah, penyeludupan senjata api dan pengubahan wang haram.

Beliau berkata, mangsa yang tergamam dengan panggilan itu, semakin panik apabila disambungkan pula kepada ‘Inspektor Amirul’ yang kemudian memintanya memindahkan wang di dalam akaun bank miliknya ke akaun bank yang diberikan oleh suspek.

“Dia memberi alasan kononnya untuk tujuan semakan akaun sama ada mangsa terbabit dalam kes yang didakwa itu atau tidak.

“Mangsa bagaimanapun mula sedar dirinya ditipu selepas membuat semakan akaun bank dan mendapati wang di dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM27,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian terus membuat laporan polis berhubung kejadian untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mustafa Kamal, dalam kenyataan yang sama, turut memberitahu bahawa sehingga semalam, 100 kes penipuan ‘Macau Scam’ dilaporkan di Sarawak, membabitkan kerugian mencecah RM6.3 juta.

“Tahun lalu, 209 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM10.3 juta manakala tahun ini, 44 orang berjaya ditangkap berhubung kes Macau Scam berbanding 47 orang tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X