Selasa, 1 Oktober 2019 | 12:20pm
TEMPAT kejadian seorang lelaki cedera parah dipercayai disamun sekumpulan lelaki bersenjata di tempat letak kereta belakang Kondominium Sandlands, Lebuh Sandlands, Georgetown. NSTP/Ihsan PDRM

Peniaga koma disamun tiga lelaki

GEORGETOWN: Seorang peniaga koma selepas dipukul dan disamun tiga lelaki di kawasan tempat letak kereta belakang Kondominium Sandilands, di sini, awal pagi Jumaat lalu.

Mangsa, Lai Chia Luen, 33, ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan di kepala oleh orang awam yang melalui kawasan terbabit, kira-kira jam 2.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan kejadian mendapati, ia dilakukan tiga lelaki menaiki dua buah motosikal.

“Seorang suspek memukul mangsa menggunakan objek disyaki kayu sebelum mengambil barang milik lelaki itu.

“Temu bual dengan pengawal keselamatan kondominium itu memaklumkan, tidak mendengar sebarang bunyi pergelutan namun, mengakui pernah melihat mangsa kerana dia sering ke kondominium itu untuk mengambil wanita warga asing keluar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, barangan milik mangsa termasuk dompet, telefon bimbit dan kunci kereta hilang dalam kejadian itu.

Katanya, pemeriksaan oleh doktor mengesahkan mangsa patah tulang muka selain mengalami pendarahan di dalam otak dan kini masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Susulan kejadian, Che Zaimani berkata, pihaknya menahan dua lelaki pada Ahad lalu, di hadapan sebuah bengkel motosikal dekat Jalan Air Itam.

“Hasil siasatan, suspek berusia 23 dan 25 tahun itu mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.

“Semakan turut mendapati kedua-dua mereka mempunyai masing-masing dua dan satu rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek masih giat dilakukan.

Katanya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X