Isnin, 30 September 2019 | 4:40pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. - Foto Eizairi Shamsudin

Lebihan deposit sekuriti pengambil alihan Genting Sanyen masuk akaun Najib - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Lebihan wang deposit sekuriti berjumlah AS$790.3 juta bagi pengambil alihan ekuiti Genting Sanyen (M) Sdn Bhd oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diaturkan oleh ahli perniagaan Jho Low dan diselewengkan, sebelum dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.

Perancangan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho itu bagi membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya sebelum dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Proses pengambil alihan syarikat itu pula, dilakukan secara tergesa-gesa dibandingkan dengan pengambilalihan Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB) oleh 1MDB.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangannya berkata pengambil alihan Genting Sanyen dilaksanakan melalui pembiayaan pinjaman jangka pendek (bridging loan) berjumlah RM700 juta dan terbitan bon berjumlah AS$1.75 bilion.

Shahrol Azral Ibrahim yang juga saksi pendakwaan kesembilan, berkata terdapat lebihan yang banyak daripada hasil pembiayaan untuk pengambil alihan itu.

Saksi itu berkata, bagaimanapun beliau tidak mengetahui bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit sekuriti AS$790.3 juta yang dibayar kepada Aabar Investment PJS Ltd (syarikat usahasama 1MDB) adalah untuk diseleweng oleh pihak lain.

“Pembayaran deposit sekuriti itu dibuat secara ‘good faith’ (baik) berdasarkan dokumentasi yang disediakan peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, Terence Geh (bekas pengarah kewangan) dan Tim Leissner (CEO Goldman Sachs Global).

“Selepas penyiasatan dilakukan barulah saya tahu yang deposit sekuriti itu diaturkan oleh Jho Low untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan yang seterusnya dimasukkan ke dalam akaun milik Najib,” katanya.

Menurut Shahrol Azaral, beliau berpandangan proses pengambil alihan Genting Sanyen dilakukan tergesa-gesa kerana kelulusannya hanya dibuat melalui Resolusi Pekeliling Pekeliling (DCR) tanpa dibentangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB.

“Keadaan tergesa-gesa itu disebabkan oleh tekanan daripada Jho Low yang menyatakan pinjaman dan jaminan dari pihak Petroleum Investment Company (IPIC) itu harus disegerakan.

“Ini kerana atas faktor kerjasama G to G (kerajaan kepada kerajaan) dan perlu diselesaikan sebelum PRU (Pilihan Raya) ke-13 untuk memastikan cukup perhatian daripada Najib sebelum beliau akan sibuk berkempen,” katanya.

Berita Harian X