Isnin, 30 September 2019 | 3:37pm
KETUA Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud menunjukkan lembu yang dirampas pada sidang media di Tumpat, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
KETUA Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud menunjukkan lembu yang dirampas pada sidang media di Tumpat, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

34 lembu seludup dirampas

TUMPAT: Lembu yang diseludup dari Thailand ditarik menyeberangi Sungai Golok sebelum dibawa sejauh 900 meter untuk ditempatkan di lokasi tertentu.

Itu modus operandi dilakukan penyeludup dari negara jiran untuk membawa masuk ternakan itu bagi pasaran tempatan dan kegiatan itu dikesan hasil serbuan terbaru malam tadi.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, sebanyak 34 ekor lembu dipercayai diseludup dari negara jiran itu dirampas di Kampung Mentuan, Pengkalan Kubor di sini, dengan nilainya dianggarkan sebanyak RM136,000.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata dalam serbuan itu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun turut ditahan.

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat hasil maklumat dan intipan.

“Kami mengesan 34 lembu yang dipercayai diseludup dari negara jiran dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang menjalankan kegiatan itu ditahan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ab Rashid berkata, siasatan awal mendapati lembu di bahagian hadapan diikat dengan tali oleh penyeludup sebelum ditarik menyeberangi sungai itu dengan diikuti lembu lain dari belakang.

Beliau berkata, semua lembu itu akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta MAQIS 2011.

“Suspek yang ditahan akan disiasat dari semua sudut termasuk pemalsuan dokumen,” katanya.

Sementara itu, MAQIS menerusi kenyataan media berkata, pihaknya menerima lima ekor lembu seludup hasil rampasan PGA 7 di pangkalan haram Tualang, di sini, jam 4 pagi semalam.

Pengarah MAQIS negeri, Mohd Azam Yahya, berkata pihaknya mendapati pihak yang membawa masuk semua lembu yang dianggarkan bernilai RM20,000 itu tiada sebarang dokumen import yang sah daripada MAQIS.

“Perbuatan mengimport lembu tanpa mempunyai permit import yang sah daripada MAQIS boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta MAQIS 2011 dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali.

“Kesalahan ini juga boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM50,000 di bawah Peraturan-Peraturan Kuarantin dan Pemeriksaan (Perkompaunan Kesalahan 2019),” katanya.

Berita Harian X