Isnin, 30 September 2019 | 10:46am
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Kes Adib: PDRM tunggu arahan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan kes berkenaan tidak pernah ditutup.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kita akan cuba mengesan mereka yang terbabit seperti mana arahan Mahkamah Koroner untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Semua saksi inkues sebelum ini sudah dipanggil memberi keterangan kepada polis, kita akan memanggil mereka semula jika perlu,” katanya pada sidang media di sini.

Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan punca kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.


MUHAMMAD Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Berita Harian X