Jumaat, 27 September 2019 | 7:15pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto Eizairi Shamsudin

PDRM, Timbalan Pendakwa Raya akan perincikan tindakan susulan kes Adib

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM), akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya bagi meneliti semula tindakan yang bakal dilakukan susulan keputusan mahkamah koroner Shah Alam, berhubung kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ini termasuk memanggil semula empat individu yang sebelum ini pernah ditahan pada 7 Disember tahun lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata berdasarkan siasatan yang dibuat sebelum ini, keempat-empat lelaki terbabit adalah individu yang bertindak menolong membawa Adib untuk mendapatkan rawatan.

“Kesemua mereka yang dikesan itu sebenarnya adalah individu yang memapah Allahyarham Adib dari lokasi dia dikesan dalam keadaan mengalami cedera parah ke sebuah kenderaan yang kemudian mengejarkannya ke hospital.

“Berkemungkinan keempat-empat saksi terbabit boleh membantu kita untuk mendapatkan maklumat lebih dalam lagi mengenai pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Adib susulan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi BH.

Terdahulu, Huzir dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah menutup siasatan terhadap kematian anggota bomba berkenaan malah ia masih dijalankan.

“Bagaimanapun, polis menunggu arahan lanjut daripada pihak Peguam Negara berdasarkan keputusan Hakim Koroner Mahkamah Shah Alam, hari ini (semalam),” katanya.

Hakim Koroner Rofiah Mohamad, hari ini, membuat keputusan kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya itu adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu dan meninggal dunia 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Berita Harian X