Jumaat, 27 September 2019 | 6:35pm
Pekerja teknologi maklumat, Yew Wei Liang, 41, (tiga dari kiri) hadir pada sebutan bagi menyerahkan laporan termasuk mendengar aduan tertuduh, di Mahkamah Majistret, Kajang atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir, di Lebuhraya Utara Selatan, pada 10 Ogos lalu. - Foto Aizuddin Saad

Mahkamah tetapkan 31 Oktober sebutan kes bunuh pegawai bank

KAJANG: Mahkamah Majistret akan mendengar aduan pekerja teknologi maklumat, Yew Wei Liang bahawa dia dipukul ketika berada dalam tahanan polis.

Wei Liang adalah tertuduh dalam kes bunuh pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir dalam satu kemalangan di Kilometer 293.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Dalam prosiding di Mahkamah Majistret hari ini, Majistret Nor Afidah Idris berkata, mahkamah akan mengeluarkan notis bertulis mengikut Seksyen 133 Kanun Tatacara Jenayah bagi memaklumkan kepada pendakwaan mengenai aduan itu.

Terdahulu, peguam S Selvam mewakili Wei Liang, 41, pihaknya memohon untuk mendapatkan notis itu sebelum anak guamnya memberikan keterangan bersumpah mengenai aduan terbabit pada prosiding akan datang.

Katanya, Mahkamah Majistret ada bidang kuasa untuk mengeluarkan notis itu bagi membolehkan pendakwaan membantu mahkamah menjalankan siasatan berhubung aduan itu.

“Anak guam saya mendakwa dipukul dua anggota polis dan mengalami kecederaan pada rusuk kanan ketika kali pertama ditahan reman.

“Dia juga mendakwa sehingga kini aduannya tidak diendahkan dan tiada sebarang rawatan perubatan diberikan kepadanya,” katanya.

Prosiding hari ini ditetapkan untuk mendengar aduan tertuduh, namun ia tidak dapat dilaksanakan berikutan pihak pendakwaan memaklumkan pada mahkamah masih terdapat beberapa dokumen belum lengkap.

Dalam prosiding itu, mahkamah turut memerintahkan pihak Penjara Sungai Buloh untuk memberi rawatan diperlukan tertuduh dan pendakwaan membuat tindakan susulan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria memberitahu mahkamah, pihaknya sedang menunggu laporan perubatan daripada Hospital Kajang.

“Pihak kami sudah mengemukakan surat bagi mendapatkan laporan perubatan pada 10 September lalu,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 31 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan mendengar aduan berkenaan.

Pada 22 Ogos lalu,Wei Ling didakwa membunuh Syed Muhammad Danial, 29, yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

BH sebelum ini melaporkan, Syed Muhammad Danial, yang maut dilanggar selepas terbabit dalam perselisihan faham dengan tertuduh.

Berita Harian X