Jumaat, 27 September 2019 | 4:57pm
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Ugut nak tendang emak sebab tak bagi duit

KUALA BERANG: Seorang lelaki ‘naik hantu’ apabila memecahkan pinggan mangkuk dan mengugut mahu menendang ibunya selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi dalam kejadian di Ajil, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa berusia 61 tahun berada di rumah sebelum dihampiri anaknya berusia 38 tahun yang meminta sejumlah wang dipercayai untuk membeli pil kuda.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, keengganan mangsa memberikan wang kepadanya menyebabkan suspek mengamuk dengan memecahkan pinggan mangkuk yang ada di dapur.

“Suspek turut mengugut mahu menendang mangsa sekiranya enggan menuruti kemahuannya.

“Mangsa memaklumkan suspek sering meminta wang dan akan mengamuk sekiranya tidak diberikan wang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Adli berkata, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Ajil pada hari sama kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga selain tidak sanggup melayan kerenah suspek yang kerap meminta wang.

Katanya, susulan laporan dibuat, suspek ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Berita Harian X